Wednesday, April 7, 2010

KEMBARA DAKWAH KE BUMI KENYALANG 2010


23 - 31 Mac 2010, 25 orang anggota kadet dan diiringi 3 orang pegawai telah mengikuti kembara dakwah ke bumi kenyalang. Alhamdulillah, tahniah dan syabas kerana dapat pergi ke Sarawak. Banyak pengalaman dan pengajaran yang boleh dipelajari sepanjang kembara di Sarawak. Antara objektif kembara ialah untuk memberi khidmat kepada masyarakat dalam peningkatan kefahaman terhadap Islam serta memahami budaya hidup pelbagai etnik di negara kita.


 
Kami berkumpul di Pusat Latihan Time Training & Services, Serdang pada 22 Mac sebelum berangkat ke LCCT pada pagi 23 Mac. Kami diagihkan kepada dua kumpulan untuk menaiki kapal terbang Air Asia jam 850 pagi dan 1250. Setelah sampai di lapangan terbang antarabangsa Kuching, telah dihimpunkan di pejabat HIKMAH iaitu satu badan NGO yang bertanggungjawab dalam perkembangan dakwah Islam di Sarawak. Di HIKMAH, kami telah diberi taklimat oleh wakil HIKMAH iaitu Us. Idris tentang budaya dan etika ketika berada di kampung yang akan dikunjungi oleh kami nanti. Kampung yang akan dikunjungi ialah di Kg. Rudan, Pedawan. Kampung ini terletak di lereng gunung atau borneo high, 2 jam dari bandar Kuching. Masyarakat kampung ini terdiri daripada kaum Bidayuh, 19 keluarga muslim dan 6 keluarga belum Islam. Sebelum bertolak ke Kg. Rudan, kami telah bermalam di Biro Wanita.
Pada pagi 24 hb, kami telah membuat lawatan ke Baitul Mal Sarawak. Selepasa lawatan ke Baitul Mal, kami sempat melawat Muzium Sarawak. Lebih kurang pukul 1 pentang barulah kami ke Serian dengan menaiki dua buah van dan 1 koster. Pukul 2.00 kami tiba di pekan Serian untuk makan tengahari dan solat jama' dan qasar. Selepas itu barulah kami ke Kg. Rudan. Jalan ke kampung tersebut mengambil masa 1 jam. Setelah sampai di Kg Rudan, penduduk kampung telah lama menunggu, maka majlis perasmian dan penyerahan anak angkat terus diadakan. Sebanyak 9 keluarga yang menerima anak angkat. Ada yang menerima 2 hingga 3 orang anak angkat untuk satu keluarga.
Kami berada di Kg. Rudan selama 6 hari. Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program kembara ialah membantu keluarga angkat di kebun, rehlah bersama anak-anak kampung di air terjun, riadah bersama para remaja, kelas fardhu ain, sukaneka bersama anak-anak dan keluarga angkat, mengimarahkan surau, gotong royong dan lain-lain lagi. Kami juga sempat belajar memasak Pansuh iaitu masak ayam dalam buluh dan masak nasi dalam buluh.
Kami kembali ke bandaraya Kuching pada 30 Mac dan bermalam di Biro Wanita sekali lagi. Pada sebelah malamnya, kami telah membentangkan dapatan kami sepanjang 6 hari berada di Kg. Rudan kepada beberapa Ahli Majlis HIKMAH. Pada 31 Mac kami berkesempatan untuk menziarahi beberapa tempat menarik di bandaraya Kuching dan membeli belah ole-ole yang boleh dibawa pulang ke Semenanjung.


Sebagai kesimpulan, pihak KRS MUSLEH mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerjasama dalam menjayakan misi ini terutamanya pihak ibu bapa peserta yang telah memberi keizinan kepada anak-anak untuk melibatkan diri dalam program ini serta memberi sumbangan kewangan. Begitu juga pihak HIKMAH yang telah memudahkan urusan kami di sana. Tidak lupa juga kepada ketua adat, tuan imam, para daie dan penduduk kampung Kg. Rudan dan kg. Rayang terutamanya yang sanggup menerima kami sebagai anak angkat. Sesungguhnya Islam tidak terbatas hanya untuk sesuatu kaum, bangsa dan negara tetapi ianya adalah untuk semua, inilah kehebatan Islam kerana telah mempertemukan kita atas dasar satu aqidah, satu keyakinan serta satu perjuangan, yang hanya membezakan kita hanya iman dan takwa kita kepada Allah s.w.t.

No comments: