Friday, February 10, 2012

PRINT'11 DITUTUP GILANG-GEMILANG



KUALA PILAH – Buat kali keduanya Perkhemahaan Internasional 2011 (PRINT ’11) telah diadakan oleh Kadet Remaja Sekolah (KRS) MUSLEH dengan penyertaan peserta Malaysia, Indonesia dan Thailand yang berlangsung pada 21 hingga 24 Disember 2011 di Hutan Lipur Ulu Bendul, Negeri Sembilan.

SRI-SMI MUSLEH yang mewakili 13 buah SRI dan 13 buah SMI mempunyai seramai 720 orang peserta mewakili Malaysia ke PRINT '11 ini. Kali ini penyertaan jemputan antarabangsa sungguh memberangsangkan dengan kehadiran wakil 6 buah sekolah di bawah Jaringan Sekolah Bestari As-Salam, Thailand dan 13 buah sekolah di bawah Jaringan Sekolah Islam Terpadu Indonesia (JSIT).

Buat kali pertama menyertai pasukan uniform Luk Se (Anak Harimau) dari Jaringan Sekolah Bestari As-Salam Thailand telah menghantar seramai 51 orang pelajar dengan enam orang guru pengiringnya berbanding hanya 7 orang pelajar pada PRINT '09. Begitu juga daripada negara Indonesia seramai 133 orang pelajar dan 35 orang guru pengiring serta pegawai berbanding hanya 80 orang pelajar pada PRINT '09. Sekalung tahniah diucapkan kepada jemputan antarabangsa atas komitmen dalam PRINT '11 kali ini.

Antara acara yang disusun ialah pertandingan antara sekolah iaitu Kem Kraf, Basic Self Defence (BaSeD) dan Bantu Mula. Acara Persembahan Kebudayaan cukup menghiburkan lebih-lebih lagi oleh jemputan antarabangsa. Acara Obrace (Merentas Halangan) menggabungkan tiga buah negara sebagai salah satu aktivti integrasi internasional. Selain itu aktiviti berpengkalan iaitu Melawat Taman Ular, Taman Herba dan Mengenali Pokok-pokok Hutan turut diadakan.

Ziarah sekampung mengeratkan ikatan ukhuwwah di antara para peserta dan guru. Senaman pagi pula telah dikendalikan oleh Pramuka JSIT yang terkenal dengan Senam Nusantara dan Luk Se Thailand dengan senaman Muay Thai. Malam kemuncak ialah Malam Kebudayaan yang dijayakan bersama oleh Muadz dan UNIC disusuli dengan Qiam Perdana pada sebelah awal paginya.

Seramai 246 orang pelajar Syabab dan Fatayat SMI termasuk jemputan antarabangsa berjaya dalam pendakian Gunung Angsi walaupun cuaca agak kurang baik sepanjang program perkhemahan ini namun cukup mengujakan. Uniknya, keseluruhan acara program ini dijalankan secara berasingan antara lelaki dan perempuan kecuali majlis penutup sahaja diadakan bersama.

PRINT '11 kali ini mendapat sokongan dan kerjasama yang baik daripada pihak Bahagian Ko-Kurikulum dan Kesenian, Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Hospital Kuala Pilah. Kehadiran Dr Wan Ariffin Wan Hussin selaku wakil Pengarah Bahagian Ko-Kurikulum dan Kesenian turut sama memeriahkan majlis penutup ini.

Program ini turut dilawati oleh pegawai KRS Negeri Sembilan, Pengerusi MGBSIM, Ketua Pegawai Eksekutif As-Saidiyyah dan Ustaz Sheikh Mohsin Sheikh Ahmad, Pengetua Maahad Tahfiz As-Saidiyyah (MTAS).

Majlis Perasmian Penutup PRINT '11 telah disempurnakan oleh Presiden IKRAM, Ustaz Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad. Prof Dr Omar Yaakob juga turut hadir memberikan semangat bagi pihak Jawatankuasa Pendidikan IKRAM dan Ust Megat Mohd Amin selaku Penaung KRS MUSLEH. Dalam ucapan penutup tersebut, Dr Parid sangat mengharapkan agar generasi muda ini akan mampu membawa perubahan kepada dunia seluruhnya melalui usaha-usaha pendidikan di seluruh pelusuk negara dan dunia.

Ucapan penutup juga turut disampaikan oleh Pengerusi KRS MUSLEH dan wakil Jaringan Sekolah Bestari As-Salam Thailand, Ust Mohd Rosid Mohamed serta Dr Sukro Abd Wahab, Ketua Umum Jaringan Sekolah Islam Terpadu. Turut hadir juga ialah YDP IKRAM Selangor, Pengerusi JK Pendidikan Selangor, Ahli Lembaga Pengarah MUSLEH, Ahli Lembaga Pengelola Sekolah, JK Induk KRS MUSLEH, Pengetua dan Guru Besar SRI-SMI MUSLEH.

Sekalung tahniah, sejambak doa buat semua yang telah menjayakan PRINT'11. Setinggi penghargaan perlu diberikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pengarah, Lembaga Pengelola dan Pengurusan Maahad Tahfiz As-Saidiyyah yang menjadi tuan rumah kepada tetamu luar negara dan juga Jawatankuasa Pelaksana PRINT '11 sebelum bergerak ke tapak Ulu Bendul. Semoga perkhemahan ini diberkati dan selamat bertemu lagi dalam PRINT '13, insya Allah dengan perhimpunan yang lebih besar.

No comments: