Friday, February 10, 2012

KURSUS PRA LEFTENAN DAN PRA KAPTEN KRS MUSLEH

PANGKOR – Kursus Pra Leftenan dan Pra Kapten Kadet Remaja Sekolah (KRS) MUSLEH 2011 telah diadakan pada 25-30 November 2011 yang lalu di Raudhah Camp Teluk Nipah dan Teluk Segadas Pulau Pangkor, Perak. Kursus ini telah dikendalikan oleh tiga jurulatih KRS MUSLEH Kebangsaan, Mejar KRS Abd Rahaim Md Isa, Mejar KRS Soleh Senafi dan Mejar KRS Zaini Abdul Rahman.

Objektif kursus adalah untuk mengumpulkan tenaga jurulatih KRS MUSLEH seluruh Malaysia dan memantapkan latihan pengurusan program dan kaedah P&P (Pengajaran dan Pembelajaran) dalam kemahiran KRS MUSLEH. Selain itu, ia bertujuan memantapkan kefahaman tentang konsep penyerapan nilai tarbiah dalam aktiviti KRS MUSLEH di samping memantapkan kemahiran pengurusan organisasi di dalam pelaksanaan KRS MUSLEH dan melahirkan tenaga bakal jurulatih peringkat kebangsaan.


Kursus Pra Kapten disertai lima orang peserta (2 lelaki dan 3 wanita) melibatkan kemahiran mengurus dan kaedah P&P kemahiran dalam kursus sementara Kursus Pra Leftenan disertai 15 orang peserta (6 lelaki dan 9 wanita) melibatkan kemahiran praktikal kemahiran dalam KRS MUSLEH di samping perkhemahan kembara selama tiga hari.

Dalam kursus ini, semua peserta pra kapten mengambil tugas sebagai kem komandan bergilir setiap hari dan semua peserta pra leftenan mengambil tugas sebagai pasukan pengurusan setiap hari.

Antara kaedah P&P yang dilatih di kalangan peserta ialah kawad, pandu arah – kompas dan peta, berkayak, alam sekitar, BaSeD (Basic Self Defence), refleksi kumpulan, program malam – Solo Camp 12 jam, XPDC Pandu Arah dari Teluk Nipah ke Bukit 1145, seterusnya Pasir Bogak, Bukit 905 dan Teluk Segadas selama 8 jam.


Peserta juga diberi latihan Water Confident dan XPDC berkayak mengelilingi Pulau Mentangor dan Pulau Giam. Satu kayak terbalik dilambung ombak menunjukkan aplikasi kaedah menyelamat di air formasi T dan H teruji. Peserta turut berlatih mengendalikan High Rope – Repelling 50 kaki, pengurusan pengkalan - perhimpunan, memasak dan hirasah (kawalan), kebudayaan seperti nasyid jihad, melaksanakan wajibat (tugasan) tilawah satu juzuk dan hafazan surah dan ayat pilihan, kerohanian – qiam, tazkirah subuh dan maghrib dan pentaksiran konstruk kemampuan yang diaplikasi secara menyeluruh.

Menariknya, setelah selesai pendaftaran, peserta dikehendaki menguruskan pasukan menaiki bot dari Jeti Lumut ke Jeti Pulau Pangkor dan menaiki van dari Jeti Pangkor ke Raudhah Camps Teluk Nipah, dan dikehendaki melapor kepada Kem Komandan yang telah dilantik di kalangan Pra Kapten.

Pasukan peserta Pra Kapten diberi ruang secukupnya untuk merancang dan melaksanakan aktiviti kepada peserta Pra Leftenan sepanjang 5 hari. Semua peserta Pra Kapten diberi peluang menjadi Kem Komandan secara bergilir setiap hari dengan pemantauan dan bimbingan mentor yang terdiri daripada jurulatih kebangsaan.


Setiap aktiviti akan dimulakan dengan taklimat dan penyampaian P&P berkaitan kemahiran yang akan dilalui. Aktiviti malam pertama yang sungguh mengujakan adalahSolo Camp mulai jam 6.00 petang hingga 6.00 pagi keesokannya dalam hutan. Peserta membina kekuatan dalaman bagi menghadapi cabaran hari-hari berikutnya dengan tilawah, hafazan dan zikrullah. Sesi refleksi akan dikendalikan oleh Pra Kapten untuk bermuhasabah membina kekuatan dan membaiki kelemahan diri dan pasukan.

Kesimpulannya, semua peserta dilibatkan secara aktif dalam kursus ini, sebagai pemimpin dan pengikut bagi memantapkan pengurusan organisasi di samping membina kekuatan dan menerima kelemahan dengan sewajarnya. Tahniah KRS MUSLEH dan peserta Pra Leftenan dan Pra Kapten!


No comments: