Saturday, August 15, 2009

SALAM RAMADHAN 1430 H

Insya Allah tidak berapa lama lagi kita akan berjumpa dengan bulan yang penuh keberkatan, bulan Ramadhan. Apa yang diharapkan semua ahli anggota KRS MUSLEH telah membuat persediaan untuk menyambut bulan tersebut. Antara persediaan yang perlu dibuat ialah:

a. Persediaan rohani
b. Persediaan mental
c. Persediaan fizikal
d. Persediaan emosi



a. Persediaan rohani: kita hendaklah rasa gembira kerana bulan yang dinanti-nanti telah hampir tiba. Hubungan dengan Allah semakin dieratkan dengan membaca Al-Quran, berzikir, berpuasa sunat dan lain-lain lagi amalan kerohanian. Semoga di bulan Ramadhan nanti amalan tersebut dapat ditingkatkan lagi.

b. Persediaan mental: kita hendaklah mengulangkaji kembali ilmu-ilmu yang berkaitan puasa supaya puasa kita kali ini adalah yang terbaik. Cara kita berfikir berkaitan puasa kali ini haruslah berbeza cara fikir yang lalu. Mungkin dulu kita puasa hanya kerana arahan ataupun terpaksa. tetapi kali ini kita berpuasa berdasarkan kefahaman dan penghayatan yang sebenarnya. Mudah-mudahan puasa dapat membina peribadi yang mantap di kalangan kita, Insya Allah

c. Persediaan fizikal: kita hendaklah menyedari bahawa puasa bukanlah bermakna kita perlu berhenti dari segala aktiviti, ini kerana jika kita merenung kembali sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat, kita dapati banyak peristiwa-peristiwa penting berlaku dibulan Ramadhan, terutamanya peperangan Badar Al-Kubra. Oleh itu janganlah pula kita rasa letih dan malas.

d. Persedian emosi: kita hendaklah merasa gembira dan ternanti-nanti untuk melaksanakan ibadah ini. Inilah bulan yang hebat, solat tarawikh, lailatul qadar hanya berlaku di bulan ini sahaja. Semua orang yang beriman di dunia ini berpuasa, semua orang beriman berlumba-lumba untuk melaksanakan ketaatan kepada Allah s.w.t. Inilah kehebatan Allah perintahkan dalam setahun sebulan kita berpuasa. Mudah-mudahan segala kekotoran jiwa dapat dibersihkan dalam sebulan ini.

Bagi pihak sekretariat mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak, semoga bulan Ramadhan tahun ini adalah lebih baik daripada bulan Ramadhan yang lalu, Insya Allah. Teruskan aktiviti krs MUSLEH walaupun kita berpuasa. SELAMAT BERPUASA

No comments: