Monday, June 15, 2009

MENGAPA BERKAWAD...

Oleh:Mejar(KRS) Azrul Fazli B Abdul Azis

Assalamualaikum W.B.T dan salam sejahtera.

Bersua kita kembali. Semesta baru telah menjelma, Cepat sungguh masa berlalu. Hari ini sudah dipertengahan 2009. Bagaimana perjuangan dan usaha kita untuk mencapai apa yang kita impikan. Bagaimana pula tingkat ketakwaan kita pada Allah S.W.T pencipta alam. Walau apapun saya ucapkan selamat belajar kepada warga pelajar dan selamat mendidik kepada semua warga pendidik. kali ini saya ingin menarik perhatian berkaitan dengan ilmu kawad. Dalam sukatan KRS semestinya kawad telah mendapat tempat penting sebagai ilmu utama yang diajar dan dilatih. Malah, kadangkala seolah-olah kawad sahajalah ilmu yang ada sedangkan sukatan ilmu KRS ini terlalu luas merangkumi pelbagai ilmu hidup termasukklah didikan jiwa dan kerohanian agar anggota KRS lengkap ilmunya bagi menyelusuri cabaran hidup di dunia dan mengenali penciptanya.



Sebenarnya, jika kita mengimbas kembali sejarah awal KRS ini, didikan jiwa itulah keutamaannya. Namun hari ini, adakah perjuangan mendidik jiwa insan agar kenal siapa penciptanya dan hidup dengan ketakwaan ini masih kekal pada setiap jiwa penggeraknya? bukanlah pula ini bermakna kawad itu salah, namun kadangkala kita terlalu hebat mendabik dada menjulang kemegahan sebagai juara kawad sedangkan jiwa orang yang berkawad kosong dan tidak semantap hentakan kaki mereka ketika mengejar kemenangan. Kita melatih dan berlatih berkawad tanpa tahu apa yang sebenarnya didikan jiwa yang ada disebalik kawad itu. Seperti burung kakak tua yang dilatih berkata-kata tanpa dia tahu apa yang dituturkannya.

Antara yang ada disebalik berkawad itu sebenarnya mengajar erti kerja berpasukan. Allah telah mengatakan dalam surah as-Saf ayat 4 yang bermaksud “Sesungguhnya Allah menyukai jika perjuangan di jalannya dilakukan ( secara tersusun ) seperti satu saf seolah-olahnya mereka merupakan sebuah bangunan yang kukuh“. Imam Qataah telah memberikan pandangan berkaitan ayat ini. Beliau berkata, “Tidakkah kamu melihat kepada pemilik sesebuah bangunan, bagaimana dia membenci bangunannya yang dibina secara tidak tersusun?” Begitulah kiasannya dengan Allah. Sesungguhnya Allah tidak menyukai perintahnya dilaksanakan dengan cara yang tidak teratur. Allah juga memerintahkan agar barisan di medan perjuangan berada dalam keadaan yang tersusun rapi sebagaimana tersusunnya saf ketika sedang melakukan solat berjemaah.

Adakah saf solat kita sekemas barisan kawad yang kita lakukan? Mengapa kita lakukan perbarisan yang kemas dan mantap hanya untuk dilihat oleh pengadil? Sedangkan pengadilan oleh Allah maha hebat dan penentuan kemanakah kita sama ada ke Syurga atau pun ke Neraka.
Adakah kawad memupuk perpaduan dan saf sepertimana yang telah dinyatakan dalam surah as-Saf ayat 4 tadi? Atau mengundang cacian dan ketidak puasan hati sesama kita. Adakah kekemasan pakaian yang dipakai ketika berkawad sekemas pakaian apabila kita berhadapan dengan Allah S.W.T, dan adakah perhubungan sesama kita dalam membina saf atau pasukan yang padu mengikut landasan yang betul atau percampuaran jantina dan hilang halal dan haramnya.

Kepada penggerak KRS... Adakah semua ini kita sedari? Adakah ini yang kita terapkan ketika mengajar kawad atau hanya mengejar kemenangan dunia semata-mata. Tahukah kita, tanpa semua ini kita sedang membina gendang yang merdu bunyinya namun kosong di dalam tiada apa, kita sedang mengubah bunga kertas yang cantik namun tiada harum baunya. Marilah kita bersama membina saf@pasukan KRS ini dengan tersusun. Marilah kita membina pasukan KRS yang kental fizikalnya serta mantap jiwanya. Marilah kita memberi tahu kepada anggota KRS kita, dari mana mereka datang dan kemanakah akhirnya mereka. Sesungguhnya, kita hanya musafir yang hadir seketika menghunikan alam dan pastinya kita kan dijemput untuk pulang oleh yang Esa.

1 comment:

otai said...

inilah barisan pewira
sri smi yang tercinta
anggun segak tampan indah bergaya
semangat sekeras waja.......