Monday, September 22, 2008

Ukhuwah antara teori dan realiti

Assalamu'alaikum kepada semua anggota KRS Musleh..... Semoga bulan yang penuh dengan barakah ini tidak kita sia-siakan begitu sahaja. Ingin saya menarik perhatian semua anggota KRS Musleh tentang tajuk di atas.


Kita sering mendengar tentang ukhuwah, bahkan kadang-kadang kita menyampaikan tazkirah, ceramah tentang ukhuwah dengan nas yang kukuh yakni dari hadis, Al-Quran dan sirah. Tapi, bila berada di alam realiti, adakah kita dapat mengamalkannya?


Itulah persoalan yang saya ingin mengajak kita bincang-bincangkan dan cubalah dengan sedaya upaya untuk kita mengamalkan ilmu tentang ukhuwah yang kita sama-sama fahami. Saya ingin mengambil contoh dalam satu aktiviti KRS-M.


Semua peserta telah dibahagikan dalam kumpulan, setiap kumpulan lebih kurang 10 orang. Aktivitinya ialah XPDC dengan menggunakan peta dan kompas. Setiap kumpulan bergerak dari satu check point ke satu check point yang diberikan. Diantara check point tersebut ada yang perlu bermalam, dan sudah tentulah perlu mencari kawasan yang sesuai untuk membina pengkalan. Dalam aktiviti ini, kumpulan syabab telah sampai dahulu, lalu mereka telah memilih satu kawasan yang sesuai untuk dijadikan pengkalan. Oleh kerana kumpulan syabab sampai dahulu, jadi mereka telah memilih tapak yang terbaik untuk kumpulan mereka dengan menyediakan tempat yang kurang baik kepada kumpulan fatayat. Apa yang baik dan kurang baik dari segi tempat saya cuba senaraikan seperti di bawah. Ini berdasarkan pemerhatian saya.


Tapak syabab:
  • dekat dengan bilik air dan tandas
  • bilik air dan tandas yang lebih baik
  • lebih dekat dengan sumber air
  • bersebelahan dengan pondok/dapur
  • apabila malam lebih terang kerana berdekatan dengan lampu.
Tapak Fatayat:
  • berlawanan dengan yang 5 perkara di atas
  • bersebelahan dengan tapak PASKAL (TLDM) sebagai maklumat anggota PASKAL tersebut semuanya lelaki.


Apa pandangan pembaca dengan situasi di atas berdasarkan maklumat yang saya senaraikan?
Dalam ukhuwah sifat ithar sangat penting untuk menunjukan tahap ukuwah yang tinggi. Kalau sifat ini tidak ada ukhuwah kita hanyalah mementingkan diri sendiri atau kumpulan sendiri sahaja.
Mungkin juga perkara ini terjadi bukan disebabkan tidak ada sifat ithar tetapi kerana realiti tidak semudah teori. Semasa aktiviti seperti ini, kita sangat dituntut untuk mengamalkan segala ilmu yang kita telah pelajari agar dapat dicernakan dalam bentuk realiti. Saya yakin pembaca sekelian telah memahami apa maksud yang hendak saya jelaskan disini kerana kita sangat arif tentang maksud ukhuwah.
Saya sengaja mengetengahkan situasi atau persoalan ini bukan untuk mendedahkan keburukan dan tidak sekali-kali untuk menjatuhkan martabat sesiapa tetapi untuk dijadikan ikhtibar kepada anggota yang lain sekiranya terjadi seperti situasi ini dalam sebarang aktiviti, maka dapatlah dibuat tindakan yang lebih baik.
Kepada pasukan ini saya telah memberi peringatan agar lebih berhati-hati dalam membuat tindakan dan mesti teliti dalam membuat keputusan. Selepas check point ini mereka sampai ke check point lain yang perlu juga membina pengkalan. Dan pengkalan mereka pada kali yang ke2 adalah lebih baik dan nampak lebih teliti. Tahniah....!

Sekian untuk kali ini, jika diberi kesempatan oleh Allah SWT, insyaAllah akan saya bentang dengan tajuk yang lain pula agar kita dapat sama-sama mengambil ikhtibarnya.


* syabab = anggota lelaki
fatayat = anggota perempuan
ithar = mengutamakan orang lain melebihi diri sendiri

No comments: