Wednesday, January 13, 2010

PERKHEMAHAN NASIONAL KRS MUSLEH - PRINT 2009






HULU YAM (Selangor), 22 Disember - Perkhemahan Nasional Kadet Remaja Sekolah-Musleh 2009 (PRINT ’ 09) di The Woods Resort dekat sini berjaya menghimpunkan 1200 orang pelajar dari negara-negara serantau. Perkhemahan yang berlangsung dari 21 hingga 24 Disember ini bertujuan merapatkan ukhuwah dan membina kemahiran serta ketahanan jati diri pelajar dalam usaha membangunkan modal insan yang seimbang dan berperibadi mulia seperti dituntut oleh agama Islam, demikian menurut satu siaran media yang dikeluarkan oleh Musleh.
Musleh atau nama penuhnya Pusat Pendidikan SRI-SMI Berhad adalah sebuah badan tidak bermotifkan keuntungan (limited by guarantee) yang telah didaftarkan dan beroperasi sejak tahun 2000. Pasukan Kadet Remaja Sekolah-Musleh (KRS-Musleh) pula adalah sebuah badan berunifom yang didaftarkan dengan Kadet Remaja Sekolah (KRS) di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
PRINT ’09 dianjurkan bagi pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah di bawah jaringan Musleh dan antarabangsa. Ia telah dirasmikan dengan jayanya oleh Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, Dr Mohd Puad Zarkashi pada hari kedua program.
Dalam ucapannya, beliau amat berbangga dengan KRS Musleh yang telah berjaya menganjurkan perkemahan besar ini. Beliau memberi sokongan penuh dan turut menyebutkan bahawa pihak KPM mempunyai bajet ko-kurikulum sebanyak RM300 juta pada tahun hadapan.
“Pihak KPM sedang menyusun satu usaha tranformasi pendidikan yang akan memberi penekanan kepada proses ta’dib (mengadabkan) daripada penekanan terlalu mementingkan peperiksaan sehingga melahirkan pelajar yang disifatkan “decaptive mind” atau perangkap minda yang tidak melahirkan insan yang seimbang.
“Bagi pihak KPM, bidang ko-kurikulum termasuk sukan akan diberikan tumpuan sepenuhnya pada tahun hadapan. Bahkan sistem pentaksiran yang diperkenalkan KPM akan menumpukan sistem pentaksiran berasaskan sekolah,” kata beliau.
Perkhemahan ini turut disertai Pasukan Pengakap Indonesia (PRAMUKA) seramai 104 orang dari Jaringan Sekolah Islam Terpadu (JSIT) dan 12 orang pelajar dari negara Thailand. Penyertaan dari dalam negara pula terdiri daripada pelajar-pelajar jaringan sekolah menengah naungan Musleh (34 buah) dan sekolah swasta yang lain seperti Sekolah Menengah Islam ADNI. rujuk: malaysiaharmoni.com

No comments: