Tuesday, July 21, 2009

Aktiviti Malam

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog KRSMusleh,

Pada kali ini, tergerak hati saya nak menulis tentang aktiviti malam terutamanya semasa perkhemahan. Mungkin kita pernah mengendalikan berbagai aktiviti tersebut; diantara aktiviti yang biasa dibuat ialah Qiamulail, games - seperti Burung Hantu, Cereka (berjalan berpandukan tali), Hut-hut (berjalan malam berpandukan suara) dan ada juga aktiviti yang berbentuk teamwork.



Apapun aktiviti yang kita buat hendaklah jelas matlamatnya, jangan buat sekadar untuk seronok-seronok sahaja. Tapi, biarlah bermatlamat untuk mendapat redha Allah dan sebagai satu ibadah. Disamping itu juga untuk membina keyakinan peserta kepada kekuasaan Allah S.W.T dan menolak segala tahyul yang telah lama bersarang dalam jiwa masyarakat.

Pada minggu lepas 17-19 Julai 2009, saya diantara pengendali Perkhemahan Tahunan TKRS tahun 5 Sekolah Rendah Islam Hira', Klang. Dalam ingatan saya, sejak berbelas tahun mengendalikan aktiviti malam hampir tidak pernah berlaku peserta aktivti Cereka mengikuti aktiviti tersebut dengan lancar. Maknanya, mesti ada sekurang-kurangnya beberapa orang yang bermasalah kerana terlampau takut. Tapi berbeza pada perkhemahan kali ini, peserta seramai 140 orang lelaki dan perempuan tahun 5 telah berjaya mengikuti aktiviti Cereka tersebut dengan jayanya.

Apa taklimat yang diberikan sebelum aktiviti tersebut? Diantaranya ialah:
  1. Allah S.W.T menjadikan manusia sebagai khalifah diatas muka bumi ini dan diberi peluang untuk mentadbir bumi berpandukan Al-Quran dan Sunnah. Oleh itu manusia makhluk Allah yang paling istimewa dibandingkan dengan makluk lain. Contoh: gajah yang besar tak boleh membuat jalan raya atau highway tapi manusia boleh melakukannya bahkan menguasai gajah untuk membantu manusia. Begitu juga jin dan syaitan tak mampu untuk memberi kemudharatan tanpa izin dari Allah. Jika kita manusia kuat keyakinan kepada Allah makhluk seperti jin dan syaitan akan lemah dan jika kita lemah barulah mereka boleh menguasai kita. Jadi, tak sepatutnya kita takut kepada makhluk lain. Kita hanya dituntut untuk takut kepada Allah S.W.T sahaja tuhan yang mencipta manusia dan seluruh alam ini.
  2. Manusia dituntut untuk menyembah Allah S.W.T. sahaja, seperti firman Allah S.W.T yang bermaksud: dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu. Al-Zariyat, ayat 56. Oleh itu kita tidak sepatutnya rasa takut kepada pokok, batu atau apa sahaja yang bertemu dengan kita semasa kita melakukan aktiviti malam.
  3. Saya juga ingatkan peserta bahawa tali yang mereka pegang hanyalah sebagai panduan berjalan dalam kegelapan malam bukan tempat bergantung kerana pergantungan hanya kepada Allah S.W.T. sahaja. Jika bergantung pada tali, tali akan putus tetapi jika bergantung pada Allah S.W.T. akan menguatkan keyakinan dan keberanian kita.
Semasa aktiviti ini, kita perlu mengingatkan juga kepada guru atau trakkers yang ditugaskan menjaga keselamatan peserta agar tidak mengganggu peserta atau menakut-nakutkan peserta dengan apa cara sekalipun. Ini adalah penting kerana kita perlu membina keyakinan peserta tentang realiti yang sebenarnya, bukan tahyul yang selalu diceritakan atau ditonton di tv.
Sekian, semoga dapat sama-sama kita mengambil ikhtibar/pengajaran dari aktiviti malam dan dapat menggunakannya untuk memantapkan keimanan kepada Allah S.W.T. Jika ada yang salah dan silap itu adalah dari kelemahan saya sendiri.
Mejar KRS Zaini bin Abdul Rahman

No comments: