Assalamualaikum W.B.T
Salam perjuangan. Semoga kerahmatan berpanjangan Allah limpahkan buat kita semua. Semoga juga Allah terus menetapkan kecekalan hati-hati kita di dalalam membawa wadah pentarbiahan praktikal ini.
Saya merasakan hari-hari ini semestinya anggota-anggota Koperal disemua sekolah samaada di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah terutamanya sedang sibuk menjalani latihan bagi menghadiri kursus pemeringkatan Sarjan dan Staf Sarjan yang akan diadakan pada awal bulan Jun nanti. Saya juga ada dihubungi oleh beberapa orang Staf Sarjan dan guru bertanyakan perkara berkaitan dengan latihan yang perlu dilakukan.
Saya amat mengharapkan kita memahami bahawa KRSM adalah satu wadah Tarbiyah yang kita laksanakan secara praktikal. Segalanya samaada daripada sudut ilmu, kemahiran dan penampilan yang kita cernakan didalam KRSM ini semuanya berpaksikan semula kepada tuntutan Al-Quran dan Sunnah serta amalan-amalan mulia yang dituntut kepada kita sebagai umat Islam. Semuanya yang kita pelajari dan kita faham didalam kelas pembelajaran dan apa yang telah di bimbing ketika sesi usrah, penjelmaannya kita adaptasikan di pentas KRSM ini. Contohnya kita telah membicarakan soal ukhwah dengan panjang lebar, maka ukhwah itulah yang ingin kita praktikkan di sini. Kita di asuh agar membaca Al-Quran dan Al-Mathurat, maka pengamalan itu kita teruskan sebagai pengukuhan kekuatan rohani disamping latihan kekentalan diri dan kecekalan hati yang di tekankan oleh jurulatih di kursus ini. Namun apa yang saya perhatikan peserta menanti diberitahu oleh jurulatih ataupun ditulis didalam agenda kursus barulah semua itu akan dilakukan. Sering saya dengar ada yang menyebut..
” tak ada dalam tentatif pun program Qiamullail”....” tuan tak suruh baca Al-Mathurat pun”....”kena baca al-Quran waktu hirasah?”....pada saya, seorang yang akan ditauliahkan sebagai Sarjan dan Staff Sarjan semua ini semestinya sudah faham dan mengetahuinya. Tambahan pula kesemuanya telah dipelajari dan anggota yang hadir ini adalah yang terpilih diperingkat sekolah.
Buat pengetahuan semua, sebenarnya perkara-perkara inilah yang menjadi keutamaan kepada pihak jurulatih dan penilai KRSM untuk menentukan samaada layak atau tidak seseorang anggota ditauliahkan pangkat Sarjan dan Staff Sarjan ini. Tidaklah gunanya seorang anggota itu hebat dalam kemahirannya namun kehebatan dalam menghubungkan dirinya dengan Allah tidak seberapa. Dimana hebatnya jika kawan lain yang disekeliling kita kelaparan dan terkapai-kapai memerlukan pertolongan sedangkan kita tidak mengendahkannya.
Saya cuba mencadangkan beberapa persiapan yang perlu bagi menghadiri kursus pentauliahan ini:
1. Membetulkan niat dan bersedia untuk dilatih dan diuji.
2. Faham dan kenal apa itu KRSM ( sejarah, falsafah, misi dan visi )
3. Mengetahui akan kewujudan rangkaian sekolah Islam seMalaysia.
4. Latihan kemahiran ( rujuk sukatan pelajaran )
5. Mengetahui dan memahami jenis dan bentuk ujian.
6. Persedian mental.
7. Latihan fizikal.
8. Merancang bekalan kelengkapan yang perlu dibawa.
9. Merancang perjalanan agar tiba pada masanya.
10. Menghafal Al-Mathurat ( Al-Quran wajib dibawa )
11. Menyiapkan pakaian seragam KRSM ( wajib ketika majlis tauliah )
12. Membawa dokumen yang diperlukan
Jutaan kemaafan sekiranya terlalu buruk penulisan yang cuba saya sampaikan ini. Adat orang baru belajar menulis, banyak tersasul , tidak tersusun katanya. Semoga apa yang telah kita lakukan ini akan mendapat balasan kerahmatan dari Allah S.W.T selamanya.
Sekian, terima kasih.
Oleh :Mejar KRS Azrul Fali B Abdul Azis
No comments:
Post a Comment