LAWATAN
PENGANTARABANGSAAN DAN SILANG BUDAYA
MALAYSIA-KEMBOJA
2020
MEMBUKA
MINDA MERAPATKAN HUBUNGAN DAN BERKONGSI WARISAN MEMANAH TRADISIONAL SEBAGAI BUDAYA
NUSANTARA
Januari 2020 - Rombongan
seramai 14 orang yang terdiri daripada wakil Sekretariat Kadet Remaja Sekolah
MUSLEH (KRS MUSLEH), Jurulatih Persatuan Memanah Tradisional Musleh (MeTra),
pelajar dan guru pengiring telah menjejak bumi Kemboja bagi menjayakan program
Lawatan Pengantarabangsaan dan Silang Budaya Malaysia – Kemboja 2020.
Program ini dianjurkan bersama oleh Unit
Kokurikulum IKRAM Musleh & KRS MUSLEH dan Persatuan Memanah
Tradisional Musleh (MeTra). Menurut ketua rombongan, Mejar KRSM Abd
Rahaim bin Md Isa, antara fokus utama lawatan ialah untuk membina hubungan,
mempromosi salah satu warisan nusantara iaitu memanah tradisional dan mengadakan
aktiviti silang budaya. Jestru itu, pihak beliau telah menghubungi pejabat
Mufti Kemboja dan Kementerian Belia dan Sukan Kemboja bagi mendapatkan
kerjasama dan sokongan mereka.
Kehadiran rombongan mereka telah
disambut oleh Mufti Kemboja, Okhna Hj Kamaruddin bin Yusof dan dibawa
melawat ke sebuah sekolah di bawah pentadbiran pejabat Mufti Kemboja sendiri
iaitu Madrasah An-Nikmah, Phnom Penh. Selepas selesai majlis penerimaan
tetamu, pasukan pemanah MeTra diketuai oleh Tuan Kamaruzaman bin Che Ya,
Pengerusi MeTra, dibantu oleh Tuan Muhammad Rubaie bin Abd Rahaim,
Jurulatih Utama MeTra, telah menunjukkan kemahiran mereka menggunakan busur
dan anak panah dalam beberapa bentuk formasi. Pemanah-pemanah ini terdiri
daripada 2 orang jurulatih, 2 orang murid sekolah rendah dan 2 orang pelajar
sekolah menengah. Kelihatannya, para pelajar madrasah ini begitu teruja dengan persembahan
tersebut. Apatah lagi pelajar-pelajar madrasah ini diberi peluang untuk mencuba
membuat panahan di bawah bimbingan
jurulatih dan pelajar MeTra.
Menurut Aisyah, salah
seorang pelajar madrasah ini, beliau sangat tertarik dengan aksi panahan yang
dipersembahkan terutamanya oleh pemanah perempuan. Selama ini mereka tidak
pernah dikunjungi oleh suatu kelompok pelawat yang membuat persembahan memanah
tradisional sebagai salah satu aktiviti kokurikulum. Disamping mencuba panahan,
mereka cuba berinteraksi antara mereka tetapi agak terhad kerana mereka kurang
memahami percakapan bahasa ibunda masing-masing. Namun itu tidak menjadi
masalah utama kerana ada juga dalam kalangan guru-guru madrasah ini mampu
berbahasa Melayu dengan baik.
Rombongan ini turut
mengunjungi pejabat Setiausaha Kementerian Pendidikan Belia dan Sukan
Kemboja. Kehadiran rombongan ini disambut oleh SS(Secretary of State)
Nosleh dan kakitangan pejabat. Abd Rahaim selaku ketua rombongan telah
membentangkan tujuan lawatan tersebut dan hasil yang diharapkan. SS Nosleh
menyambut baik tujuan lawatan dan memberikan sokongan dan kerjasama untuk
mengadakan aktiviti-aktiviti antara dua negara dalam bidang pendidikan, belia
dan sukan.
Seterusnya rombongan ini telah dibawa mengunjungi
dua buah lagi sekolah di bawah pentadbiran pejabat Mufti Kemboja iaitu Cambodia
Islamic Centre (CIC) Phnom Penh dan Madrasah An-Nikmah Pothi-In yang
terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari bandar Phnom Penh yang bersempadan
dengan negara Vietnam. Seperti kunjungan ke Madrasah An-Nikmah Phnom Penh
sebelum ini, rombongan telah disambut dengan penuh gembira dan ceria oleh pihak
guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah tersebut. Pihak madrasah juga telah
mempersembahkan nasyid oleh pelajar-pelajar.
Bermalam di kampung Pothi-In
sungguh mengujakan kerana rombongan di tempatkan di rumah-rumah penduduk
kampung yang tidak mempunyai kemudahan katil dan tilam, melainkan hanya alas
dan bantal. Paginya rombongan dijamu dengan makanan tradisional orang Melayu Kemboja
yang sungguh enak. Rombongan dapat berkenal-kenalan dengan penduduk kampung ini
dan pemimpin masyarakat.
Menurut seorang guru pengiring dari
Sekolah Rendah iMusleh Melaka, Cikgu Ahmad Marzuqi bin Othman, “Lawatan
ini penuh dengan pengisian yang bermanfaat, mengeratkan hubungan warga musleh
khususnya antara sekretariat dan guru-guru sekolah rangkaian serta ibu bapa
murid. Banyak ibrah yang boleh dapat sepanjang perjalanan lawatan. Beliau
mezahirkan rasa syukur atas nikmat keamanan yang dikurniakan bila melihat
kesusahan dan kepayahan orang lain di depan mata dalam aspek politik, pentadbiran,
pendidikan, kemasyarakatan, keagamaan dan lain-lain.”
Seorang pelajar lelaki Tingkatan 5
Sekolah Menengah Al-Islah Sg. Petani Kedah, Zainal Abbas bin Zainal Adlishah, “Satu pengalaman yang berharga. Saya ingin
mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kerana
memberi peluang yang istimewa ini.” Lebih-lebih lagi bagi beliau yang belum
pernah berkunjung ke luar negara, pengalaman membuat persembahan memanah memang
agak menggentarkan pada awalnya. Namun perasaan tersebut hilang melihat kepada
keterujaan para pelajar madrasah-madrasah yag dikunjugi. Tambahan pula pihak
pelajar madrasah dan guru-guru di situ sangat mesra dan memuliakan tetamu.
Begitu juga yang dirasakan oleh adik Auni
Nazirah binti Azhar, pelajar Tingkatan 3, Sekolah Menengah Al-Islah Sg.
Petani Kedah. Auni yang mudah mesra dan rajin mempelajari bahasa Kemboja
dilihat sentiasa didekati oleh pelajar-pelajat perempuan madrasah berkenaan. Beliau begitu mudah mendekati pelajar-pelajar
perempuan di sana kerana sifatnya yang cepat mesra dan ingin belajar bahasa
tempatan.
Lawatan selama empat hari
tiga malam ini dirasakan terlalu cepat masa berlalu dan meninggalkan sejuta
kenangan yang sukar untuk dilupakan.
No comments:
Post a Comment