Wednesday, March 4, 2020


LAWATAN PENGANTARABANGSAAN DAN SILANG BUDAYA
MALAYSIA-KEMBOJA 2020

MEMBUKA MINDA MERAPATKAN HUBUNGAN DAN BERKONGSI WARISAN MEMANAH TRADISIONAL SEBAGAI BUDAYA NUSANTARA

Januari 2020 - Rombongan seramai 14 orang yang terdiri daripada wakil Sekretariat Kadet Remaja Sekolah MUSLEH (KRS MUSLEH), Jurulatih Persatuan Memanah Tradisional Musleh (MeTra), pelajar dan guru pengiring telah menjejak bumi Kemboja bagi menjayakan program Lawatan Pengantarabangsaan dan Silang Budaya Malaysia – Kemboja 2020.

Program ini dianjurkan bersama oleh Unit Kokurikulum IKRAM Musleh & KRS MUSLEH dan Persatuan Memanah Tradisional Musleh (MeTra). Menurut ketua rombongan, Mejar KRSM Abd Rahaim bin Md Isa, antara fokus utama lawatan ialah untuk membina hubungan, mempromosi salah satu warisan nusantara iaitu memanah tradisional dan mengadakan aktiviti silang budaya. Jestru itu, pihak beliau telah menghubungi pejabat Mufti Kemboja dan Kementerian Belia dan Sukan Kemboja bagi mendapatkan kerjasama dan sokongan mereka.

Kehadiran rombongan mereka telah disambut oleh Mufti Kemboja, Okhna Hj Kamaruddin bin Yusof dan dibawa melawat ke sebuah sekolah di bawah pentadbiran pejabat Mufti Kemboja sendiri iaitu Madrasah An-Nikmah, Phnom Penh. Selepas selesai majlis penerimaan tetamu, pasukan pemanah MeTra diketuai oleh Tuan Kamaruzaman bin Che Ya, Pengerusi MeTra, dibantu oleh Tuan Muhammad Rubaie bin Abd Rahaim, Jurulatih Utama MeTra, telah menunjukkan kemahiran mereka menggunakan busur dan anak panah dalam beberapa bentuk formasi. Pemanah-pemanah ini terdiri daripada 2 orang jurulatih, 2 orang murid sekolah rendah dan 2 orang pelajar sekolah menengah. Kelihatannya, para pelajar madrasah ini begitu teruja dengan persembahan tersebut. Apatah lagi pelajar-pelajar madrasah ini diberi peluang untuk mencuba membuat panahan di bawah  bimbingan jurulatih dan pelajar MeTra.



Menurut Aisyah, salah seorang pelajar madrasah ini, beliau sangat tertarik dengan aksi panahan yang dipersembahkan terutamanya oleh pemanah perempuan. Selama ini mereka tidak pernah dikunjungi oleh suatu kelompok pelawat yang membuat persembahan memanah tradisional sebagai salah satu aktiviti kokurikulum. Disamping mencuba panahan, mereka cuba berinteraksi antara mereka tetapi agak terhad kerana mereka kurang memahami percakapan bahasa ibunda masing-masing. Namun itu tidak menjadi masalah utama kerana ada juga dalam kalangan guru-guru madrasah ini mampu berbahasa Melayu dengan baik.





Rombongan ini turut mengunjungi pejabat Setiausaha Kementerian Pendidikan Belia dan Sukan Kemboja. Kehadiran rombongan ini disambut oleh SS(Secretary of State) Nosleh dan kakitangan pejabat. Abd Rahaim selaku ketua rombongan telah membentangkan tujuan lawatan tersebut dan hasil yang diharapkan. SS Nosleh menyambut baik tujuan lawatan dan memberikan sokongan dan kerjasama untuk mengadakan aktiviti-aktiviti antara dua negara dalam bidang pendidikan, belia dan sukan.



Seterusnya rombongan ini telah dibawa mengunjungi dua buah lagi sekolah di bawah pentadbiran pejabat Mufti Kemboja iaitu Cambodia Islamic Centre (CIC) Phnom Penh dan Madrasah An-Nikmah Pothi-In yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari bandar Phnom Penh yang bersempadan dengan negara Vietnam. Seperti kunjungan ke Madrasah An-Nikmah Phnom Penh sebelum ini, rombongan telah disambut dengan penuh gembira dan ceria oleh pihak guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah tersebut. Pihak madrasah juga telah mempersembahkan nasyid oleh pelajar-pelajar.



Bermalam di kampung Pothi-In sungguh mengujakan kerana rombongan di tempatkan di rumah-rumah penduduk kampung yang tidak mempunyai kemudahan katil dan tilam, melainkan hanya alas dan bantal. Paginya rombongan dijamu dengan makanan tradisional orang Melayu Kemboja yang sungguh enak. Rombongan dapat berkenal-kenalan dengan penduduk kampung ini dan pemimpin masyarakat.





Hari terakhir ialah lawatan ke Muzium Tusleng iaitu sebuah sekolah yang dijadikan penjara penyiksaan semasa pemerintahan regim Pol Pot yang sangat zalim. Melawat muzium ini menimbulkan keinsafan betapa tingginya harga sebuah kedamaian dan kemakmuran sesebuah negara yang merdeka.



Menurut seorang guru pengiring dari Sekolah Rendah iMusleh Melaka, Cikgu Ahmad Marzuqi bin Othman, “Lawatan ini penuh dengan pengisian yang bermanfaat, mengeratkan hubungan warga musleh khususnya antara sekretariat dan guru-guru sekolah rangkaian serta ibu bapa murid. Banyak ibrah yang boleh dapat sepanjang perjalanan lawatan. Beliau mezahirkan rasa syukur atas nikmat keamanan yang dikurniakan bila melihat kesusahan dan kepayahan orang lain di depan mata dalam aspek politik, pentadbiran, pendidikan, kemasyarakatan, keagamaan dan lain-lain.”
Seorang pelajar lelaki Tingkatan 5 Sekolah Menengah Al-Islah Sg. Petani Kedah, Zainal Abbas bin Zainal Adlishah,  “Satu pengalaman yang berharga. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kerana memberi peluang yang istimewa ini.” Lebih-lebih lagi bagi beliau yang belum pernah berkunjung ke luar negara, pengalaman membuat persembahan memanah memang agak menggentarkan pada awalnya. Namun perasaan tersebut hilang melihat kepada keterujaan para pelajar madrasah-madrasah yag dikunjugi. Tambahan pula pihak pelajar madrasah dan guru-guru di situ sangat mesra dan memuliakan tetamu.

Begitu juga yang dirasakan oleh adik Auni Nazirah binti Azhar, pelajar Tingkatan 3, Sekolah Menengah Al-Islah Sg. Petani Kedah. Auni yang mudah mesra dan rajin mempelajari bahasa Kemboja dilihat sentiasa didekati oleh pelajar-pelajat perempuan madrasah berkenaan. Beliau begitu mudah mendekati pelajar-pelajar perempuan di sana kerana sifatnya yang cepat mesra dan ingin belajar bahasa tempatan.

Dua orang lagi murid yang menyertai lawatan dan membuat pertunjukan memanah iaitu adik Afif Zuhairi bin Zainul Arifin, murid Tahun 4 dari Sekolah Rendah iMusleh Melaka dan adik Raihanah binti Khairul Anuar, murid Tahun 6, Sekolah Rendah Islam Hira’ Klang Selangor. Bagi adik Raihanah, beliau memang menikmati lawatan ini kerana turut disertai dan ditemani oleh kedua ibubapanya. Mereka berdua menjadi tumpuan para pelajar madrasah kerana kemampuan mereka membuat panahan dengan tepat dan dapat mempamirkan aksi panahan dalam bentuk formasi, berdiri, melutut dan sambil berjalan.



Lawatan selama empat hari tiga malam ini dirasakan terlalu cepat masa berlalu dan meninggalkan sejuta kenangan yang sukar untuk dilupakan.